Hang Tuah lari ke Gerik Ulu Perak
Posted by pakcikli00 di 10 Jun 2010

Seperti mana yang kita fahami bahawa kisah pahlawan Melayu ulung seperti yang diriwayatkan dalam Hikayat Hang Tuah, memang sukar dipastikan kebenarannya. Tiada bukti kukuh yang dapat mengesahkan kewujudannya, namun yang nyata Hang Tuah kekal menjadi lagenda orang-orang Melayu.
Meski pun begitu, terdapat beberapa penulis Inggeris seperti Hans Overback, Nasjah, Sheppar M C dan lain-lain lagi yang berminat dan telah menulis atau menterjemahkan hikayat Hang Tuah dalam buku mereka, seperti ‘Malaiische Chronik, Hang Tuah Aus dem Malaiischen ubersetz von Hans Overbeck’ yang diterbitkan oleh Georg Muller, Munich pada tahun 1922.
Apa yang menarik untuk penulis tekankan di sini ialah – di penghujung penulisan hikayat ini ada menyatakan bahawa, setelah Hang Tuah hilang selepas peristiwa peminangan Puteri Gunung Ledang, beliau dikatakan muncul semula di hulu sungai Perak dan dipercayai menjadi Batin di sebuah kampung orang Asli di kawasan tersebut.
Berdasarkan ini, penulis percaya kawasan yang dimaksudkan dalam riwayat itu adalah di kawasan perkampungan orang Asli di Temenggor, Gerik.
Sudah tentu tiada siapa yang dapat membuktikan atau mengesahkan perkara ini. Namun orang Gerik, patut berasa bangga kerana Gerik dikaitkan dengan riwayat Hang Tuah yang tiada bandingannya itu. Benar atau tidak, sahih atau kabur, sejarah atau dongeng – selagi Hikayat Hang Tuah ‘hidup’ di dunia ini – selagi itulah fakta mengenai timbulnya semula Hang Tuah di Hulu Perak selepas ghaibnya dari bumi Melaka tetap seiring dalam penceritaannya, seperti yang ditulis oleh penulis-penulis yang banyak mengkaji tentangnya.
Malah jika kita melihat pada tulisan fakta sejarah, kita akan dapat mengetahui bahawa setelah kejatuhan Melaka pada Tahun 1511, Sultan Mahmud Syah (Sultan Melaka yang terakhir) mengundurkan diri ke Kampa. Kemudiannya selepas itu pada tahun 1528, Putera Baginda – Raja Muzaffar Syah telah berhijrah ke Negeri Perak lalu membawa bersamanya sebilah keris yang dikurniakan ayahndanya, yang mana keris itu dikatakan kepunyaan Hang Tuah yang dipulangkan kepada Sultan Mahmud Syah sebelum menghilang. Hingga kini, alat itu dijadikan sebagai alat kebesaran kerajaan negeri Perak.
Agak sinonim apabila keris Hang Tuah berada tidak jauh dari tempat beliau timbul semula. Apakah itu tanda keramat kerisnya yang tidak mahu berpisah jauh dengannya? Dan, apakah keris yang dimaksudkan itu adalah Tamingsari yang gah disebut-sebut?
Lalu, apakah ini adalah tanda bahawa kewujudan Hang Tuah di Hulu Perak @ Gerik adalah selari dengan fakta sejarah penghijrahan Raja Muzzaffar Syah ke negeri Perak bersama keris peninggalan Hang Tuah itu?
Wallahu a’lam.
Nota: tulisan ini sekadar untuk mengaitkan hikayat Hang Tuah dengan kawasan Gerik. Sila rujuk mana-mana penulisan tentang hikayatnya untuk mengesahkan fakta yang terselit ini dalam riwayatnya.





Fairus berkata
Ada pengkaji mengatakan Hang Tuah dikenali sebagai Tun Saban di Perak. Mungkin ada jugak kebenarannya kerana dalam coretan penjajah diatas mengatakan Hang Tuah lari ke sana. Kisah Tun Saban di gerik pernah diceritakan, dimana beliau menjadi orang besar yang menjaga kampung belum. Lagu Tualang Tiga juga ada terkisahnya tentang Tun Saban secara tersirat. Kita tidak boleh terima dan tolak bulat2 perkisahan ini, yang penting inilah point utama untuk kita tingkatkan kajian dan buat cross checking dengan pengkaji yang mengatakan Tun Saban adalah Hang Tuah.
Azmie Mie berkata
cukup menarik jika di perluaskan
Firman Abdul Malik berkata
semakin menarik,