Keungulan wanita dalam sejarah Melayu lama

PERANAN WANITA YANG UNGGUL DALAM BUKU ‘ SEJARAH MELAYU’ TUN SRI LANANG

( Tulisan teks ini, mengambil contoh-contoh daripada buku histiografi sejarah terkemuka alam Melayu,Nusantara, iaitu ‘ Sejarah Melayu’)

Wanita

Peranan golongan wanita dalam politik tradisional Melayu mencakupi pelbagai bidang untuk dikaji secara mendalam. Kajian akan menumpukan peranan wanita dalam beberapa naskah histiografi tradisional Melayu.

Walaupun pelbagai tanggapan yang melemahkan peranan wanita tradisional Melayu di utarakan, namun beberapa bukti dapat dilihat hasil dari kajian yang dilakukan ke atas teks-teks atau naskhah-naskhah berbentuk sejarah silam.

Sejarah Melayu ( Versi W. G Shellabear) telah dikaji untuk melihat peranan golongan wanita tradisional dalam memainkan peranan mereka dalam struktur politik tradisional Melayu . Tanggapan yang menetapkan wanita sebagai tidak berperanan dalam mengubah atau mempengaruhi sistem politik dan geopolitik di kalangan masyarakat di zaman lampau ratusan tahun lalu, adalah bersalahan sama sekali. Peranan wanita didapati amat besar dan berpengaruh dalam menentukan hala tuju sesebuah kerajaan tradisional, contohnya kesultanan Melayu Melaka.

Sejarah Melayu telah mengisahkan perkahwinan di antara Putri Syahrul Bariyah dengan Raja Iskandar Zulkarnain[ 5]. Putri Syahrul Bariyah merupakan puteri kepada Raja Kida Hindi yang di Islamkan oleh Raja Iskandar Zulkarnain. Perkahwinan tersebut telah menghasilkan keturunan yang terbaik di kalangan raja-raja di benua India dan kepulauan Melayu di Nusantara, khususnya di dalam kesultanan Melayu Melaka. Anak lelaki Putri Syahrul Bariyah dan Raja Iskandar Zulkarnain, bernama Raja Aristun Syah berkahwin pula dengan puteri Raja Turkistan dan mendapat seorang putera dinamakan sebagai Raja Aftus. Keturunan dari Putri Syahrul Bariyah ini, akhirnya sampai kepada Raja Suran yang menyerang rantau Asia Tenggara ( Gangga Negara) dan menurunkan keturunan Raja-Raja Melayu. Perkahwinan Raja Suran dengan Putri Mahtabul Bahri di dalam alam ghaib di bawah laut telah menghasilkan tiga orang putera lelaki bernama Raja Aftabul Ard Nila Pahlawan, Kerisyna Pandita dan Nila Utama.

Peranan wanita yang dapat dikesan dalam perenggan ini adalah, wanita sebagai penerus warisan atau zuriat yang terbaik sehingga mengwujudkan sistem politik beraja yang terbaik dan disegani.

Peranan Wan Empuk dan Wan Malini yang mengusahakan bidang pertanian di Bukit Seguntang memainkan peranan penting mereka dalam meluaskan jajahan takluk kerajaan Melayu di rantau Melayu dan Nusantara. Wan Empuk berkahwin dengan Nila Pahlawan dan Wan Malini dengan Kerisyna Pandita setelah bertemu dengan putera-putera Raja Suran yang berketurunan Raja Iskandar Zulkarnain dan Putri Syahrul Bariyah sehingga mendapat keturunan yang bergelar Sang Sapurba. [19]

Perkahwinan Sang Sapurba dengan Wan Sendari puteri Demang Lebar Daun telah menghasilkan pula dua orang putera iaitu Sang Maniaka dan Sang Nila Utama ,serta dua orang puteri iaitu Putri Seri Dewi dan Putri Cendera Dewi. Teruskan membaca

Posted in Uncategorized | Tagged , , , , , | Tinggalkan komen

Contoh kedangkalan sarjana Melayu masakini mengkaji sejarah Hang Tuah

Hari ini ramai yang mengalami penyakit buta sejarah.Orang yang buta sejarah lebih menyusahkan dari orang yang buta matanya.Orang yang buta sejarah mampu meruntuhkan sejarah dan peradaban sesuatu bangsa.Orang yang buta sejarah mampu menggadaikan tanahairnya kepada orang lain.Jika kita di zaman raja-raja dahulu,orang yang buta sejarah ini mungkin patut disula kerana memporak-perandakan salasilah dan hikayat bangsa.Jika anda bertemu dengan ular dan orang yang buta sejarah pada masa yang sama,anda patut ketuk kepala orang yang buta sejarah ini dahulu ;D

Dalam artikel santai ini,saya akan tunjukkan kepada anda contohnya pendapat orang yang buta sejarah apa kesannya kepada sejarah bangsa.Kita akan kaji satu persatu pendapat mereka.Kemudian saya akan ulas.Dari sini,kita boleh belajar cara-cara berfikir orang yang buta sejarah.Bahasa saya santai dan tidak serius.Tidak semestinya kita belajar sejarah dengan bahasa skema yang terlampau saintifik serius-mius.Janji rock.
; )

Saya petik dari artikel oleh Shahabudeen Jalil di blog Suara Anum:

“Keraguan terhadap kedudukan Hang Tuah sebagai pahlawan Melayu telah menghasilkan satu penyelidikan dijalankan terhadap asal usul keturunan secara hipotesis. Jika pepatah Melayu sendiri telah mengatakan ‘bahasa jiwa bangsa’ dan ‘manusia mati meninggalkan nama’ . Bagaimana pula kita hendak menafikan kenyataan ‘nama menunjukkan bangsa’. Bahasa ‘nama’ merupakan identifikasi yang cukup jelas untuk mengetahui jenis sesuatu bangsa itu”

Ini adalah pendapat yang dangkal dan kurang berpengetahuan luas.Nama tidak semestinya menunjukkan sesuatu bangsa.Nama si penulis sendiri menunjukkan percanggahan yang jelas.’Shahabudeen Jalil’,jika dikaji oleh seorang penulis lain 500 tahun akan datang kemungkinan menganggap beliau ialah seorang lelaki Arab atau dari Timur Tengah,atau dari keturunan Mamak.Bagaimana dengan seorang lelaki Cina yang tinggal di Thailand atau Indonesia?Jeneral Sonthi Boonyaratglin adakah benar-benar seorang Thai?Bob Hassan atau Sudono Salim,adakah seorang lelaki Melayu atau Indonesia?Tidak,mereka adalah ‘Chinese Indonesian’.Bagaimana dengan Agnes Monica?

Bagaimana dengan Parameswara?Adakah beliau seorang lelaki dari India yang menubuhkan Melaka?Srivijaya adalah sebuah kerajaan orang Telegu di Nusantara?Tidak.Dvaravati adalah kerajaan orang Tamil di Thailand Tengah?Bukan,ia kerajaan orang Mon.Adakah Fan Shih Man adalah seorang raja China?Salah,beliau raja Funan.

JADI NAMA TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN BANGSA.Yang penting kita kena kaji dari pelbagai aspek.Jika nama penulis sendiri mampu menyelindungkan keturunannya,bagaimana pula dengan nama-nama orang Melayu lain?Jika nama Munshi Abdullah ada juga di antara kita terkeliru mengenalinya,apatah lagi lelaki bernama Shahabudeen Jalil ini.

“Bukti yang dapat menerangkan asal-usul Hang Tuah setakat ini, hanyalah dapat disandarkan pada namanya. Oleh itu satu kajian secara hipotesis telah dijalankan dengan bersandarkan kepada ‘nama’ manusia untuk memperolehi jawapan tentang asal-usul Hang Tuah sebenarnya” Teruskan membaca

Posted in Uncategorized | Tagged , , , , , | 10 Komen

Kisah keanihan nafsu Sultan Mahmud Shah 11 beristerikan jin

Nama asalnya ialah Raja Mahmud dan bergelar Sultan Mahmud Shah II, Sultan Johor ke-10 (tahun pemerintahan dari 1685 – Ogos 1699). Baginda ditabalkan ketika berumur 10 tahun. Baginda Sultan Mahmud diputerakan pada tahun 1675. Baginda merupakan keturunan terakhir Raja Fatimah cucu kepada Sultan Alauddin Riayat Shah II iaitu raja pertama yang membuka Johor Lama pada tahun 1530.

Ketika hayat baginda Sultan Mahmud, urusan pentadbiran dijalankan oleh Bendahara. Pusat pemerintahan berada di Kota Tinggi, dan Johor Lama dijadikan istana hinggap. Disinilah Temenggung menjaga Kota Johor Lama.

Sultan Mahmud Shah II dikaitkan dengan kezaliman dan menimbulkan pergolakan dalam negeri. Pada tahun 1697, Bendahara Seri Maharaja Tun Habib Abdul Majid meninggal dunia dan disebut “Marhum Padang Saujana”.

Pada hari Jumaat, Ogos 1699, Sultan Mahmud Shah II mangkat dalam usia 24 tahun, dipercayai ditikam oleh Megat Seri Rama. Akhirnya baginda lebih dikenali sebagai “Marhum Mangkat Di Julang” atau “Marhum Kota Tinggi”. Baginda dimakamkan di Kota Tinggi[1]

“Dalam Tahfatu’l Nafis karangan Raja Ali Haji Riau ada slot kisah menggambarkan perangai Sultan Mahmud Raja Johor yang mati dibunuh dalam peristiwa Sultan Mangkat Dijulang. Secara halus Raja Ali Haji menyifatkan keganjilan peribadi sultan ini kerana baginda beristerikan peri (sejenis jin) yang begitu cemburu sehinggakan tiadalah sultan itu dapat bersama dengan mana-mana isterinya dari jenis manusia.

Baginda itu akhirnya dikatakan mewarisi perilaku songsang seperti kaum Nabi Lut.[1] Sultan Mahmud adalah keturunan dari Raja Melaka yang melarikan diri setelah Melaka jatuh di tangan Portugis tahun 1511. Semasa kanak-kanaknya, baginda dipangku di atas takhta oleh ibu tirinya dan kerajaan ditadbir oleh Paduka Raja Tun Abdul Jamil & keluarganya. Apabila baginda beransur dewasa dan mengambil alih tampuk pemerintahan, pusat pemerintahan berpindah dari Riau ke Johor Lama. Di sanalah baginda memerintah dengan kezaliman.

Alexander Hamilton, seorang pelayar Inggeris yang sempat berkunjung ke Johor Lama tahun 1695 menulis tentang keganjilan perilaku sultan tersebut. Baginda bertabiat bengis dan ganjil. Ini disahkan juga oleh utusan Belanda ke Johor tahun 1699 yang melaporkan sultan itu terlalu muda dan sukar dikawal. Sultan ini menghabiskan masa dengan keseronokan yang keji-keji dan membunuh orang sesuka hati. Nafsu serakahnya lebih cenderung kepada lelaki yang cantik-cantik. Alexander dalam bukunya, ‘A New Account of The East Indies’- Edinburgh 1727 ada melakarkan kisah seperti berikut:

“Baginda ialah peliwat yang hebat dan mengambil ramai orang kaya atau anak laki-laki orang Bangsawan, dengan paksa membawa kedalam istananya untuk khidmat kesat tersebut. Pedagang Moorish, iaitu pemunggah di kapal saya mempunyai seorang anak lelaki yang kacak, pada suatu hari Raja telah terlihat dan memerlukan ia untuk catamite. Baginda mengancam bapanya, jika dia tidak menghantarnya dengan sukarela, baginda akan mendapatkannya secara paksa. Orang miskin tersebut telah mengambil anaknya diatas kapal, (lalu) memohon perlindungan dari saya yang telah saya janjikan padanya..” ( Winstedt 1932).

Diberitakan ramai lelaki kacak menjadi mangsa kebuasan nafsu Sultan Mahmud ini. Kemuncak kezalimannya ialah membunuh isteri orang besarnya iaitu Megat Seri Rama. Isterinya, Dang Anum yang mengandung sarat itu mengidam buah nangka dalam taman diraja. Apabila baginda tahu kejadian itu, baginda dengan zalim atau kebodohannya telah membelah perut Dang Anum bagi melihat betulkah anak dalam kandungan yang mengidam buah nangka raja.

Megat Seri Rama (bergelar Laksamana Bentan) yang balik dari medan peperangan di Linggi atas perintah sultan itu telah dikhabarkan kematian tragis isteri kesayangannya. Bendahara Paduka Raja Tun Abdul Jalil dengan pembesar istana lainnya bersepakat untuk menghapuskan raja. Menurut adat Melayu, seseorang raja boleh diturunkan dari takhta apabila terbukti ia gila atau murtad. Mereka bersepakat dalam musyawarah yang telah diadakan secara tertutup untuk membunuh raja.

Walau bagaimanapun, ada seorang pembesar bernama Orang kaya Seri Bija Wangsa dari suku orang laut menentang komplot itu kerana tidak mahu menderhaka kepada raja. Bagi menjayakan rancangan dan menutup rahsia misi penting itu, Seri Bija Wangsa dibunuh orang dengan keris penyalang. Pembesar ini merupakan orang keutamaan suku Orang Laut (orang Riau/Lingga) yang pernah menjadi pembantu laksamana dalam perang Johor-Bugis di Linggi. Orang-orang Laut sangat marah dan berdendam atas kematian pembesar mereka itu. Manakala Megat Seri Rama mengambil tugas berat untuk menderhaka dan ketika tepat waktunya sultan dijulang jejuaknya ke masjid untuk sembahyang Jumaat (peliknya baginda masih menunaikan haknya sebagai Muslim), Megat Seri Rama pun membunuh Sultan yang dianggap gila itu dan tragedi itu dikenali sebagai ‘Sultan Mahmud Mangkat Dijulang’. Kononnya sebelum mati, baginda sempat menyumpah pembunuhnya dan mengharamkan 7 keturunan Megat Seri Rama dari menjejaki Johor lama itu.

Mengikut perbualan orang di negeri selatan itu, masih ada keturunan Megat Seri Rama yang akan pening kepala dan muntah darah bila berkunjung ke daerah pembunuhan sultan tersebut. Sultan Mahmud dimakamkan orang di Kota Tinggi pada tahun 1699 dan dengan kematian baginda maka putuslah zuriat raja-raja Johor dari keturunan dinasti Raja Melaka. Menurut orang tiadalah sultan itu berputera kerana tiada benih dengan perempuan kerana fitrah luar tabienya itu.

Tetapi ada pula seorang penuntut takhta sultan yang bergelar Raja Kecil. Kononnya raja ini mendakwa ia ialah anak Sultan Mahmud Shah II yang masa kecil dilarikan oleh pembesar baginda ke Muar. Anak perempuan pembesar itu telah diperisterikan oleh Sultan Mahmud dan mendapat Raja Kecil ini. Oleh kerana haru-biru dalam istana gara-gara perilaku ganjil sultan maka pembesar itu menyelamatkan cucunya (Raja Kecil).

Raja Kecil kemudiannya dibawa orang ke Pagar Ruyung. Apabila dewasa, lalu beliau dengan bantuan orang Minangkabau dan Orang Laut menyerang Riau. Tahun 1719 Riau dapat ditawan, kerabat Sultan Abdul Jalil habis dibunuh. Sultan Abdul Jalil diturunkan pangkat menjadi Bendahara dan anaknya dikahwini oleh Raja Kecil. Bendahara ini melarikan diri ke Terengganu tetapi dapat dibunuh oleh orang upahan Raja Kecil, dan anaknya Raja Sulaiman ditawan.

Di Johor pula, persepakatan telah diwujudkan dengan orang Bugis diketuai oleh Daeng Marewa untuk menghalau Raja Kecil. Angkatan Bugis yang terkenal itu akhirnya berjaya menghalau Raja Kecil dan Raja Sulaiman kembali dinaikkan takhta kesultanan Johor Riau. Zaman kesultanan kerabat Sultan Abdul Jalil inilah menjadikan Riau terkenal sebagai pusat perdagangan dan agama Islam. Riau dikenali “Pulau Segantang Lada” yang dikunjungi berbagai pedagang dari Eropah dan timur jauh.

Posted in Uncategorized | Tagged , , , , , | 3 Komen

Pantun pantan asmara Hang Tuah di puncak Gunung Ledang

Shahdan berkatalah yang empunya cerita bahawa ketika Laksamana Hang Tuah bertemu dengan Puteri Gunung Ledang di puncak gunung yang dingin lagi sepi itu hata mengelorakan nafsu adanya, maka menyapalah kedua dengan madah seloka dan pantun pantan yang mengusik jiwa.Sambung yang empunya cerita lagi diantara pantun pantannya antara keduanya adalah seperti berikut;

Pantun pembukaan dari Hang Tuah

Biji nangka tepi permatang
buah berangan rasanya lazat
dari Melaka hamba datang
datang dengan seribu hajat

Dijawab Tuan Puteri Gunung Ledang

Dari Paguh ke kota Melaka
bawa pandan bersama lokan
jika sungguh bagai dikata
nyawa dan badan hamba serah kan

Pantun Hang Tuah mula mengatal

Bawa pandan bersama lokan
serta pulut bersama halua
jika badn dinda serahkan
tidakkah takut berbadan dua

Pantun Tuan Puteri Gunung Ledang turut miang

Berisi pulut berserta halua
bekal untuk kawan bersenam
jika dinda berbadan dua
pandai sungguh tuan menanam

Jawapan Hang Tuah

Bekal untuk teman bersenam
buat sarapan suami isteri
bukan tak padai bercucuk tanam
tapi tentu sultan murkai

Selesai mendengari pantun terakhir ini Tuan Puteri Gunung Ledang sangat kecewa terhadap Hang Tuah dan merajuk lari ke hutan belukar sehingga hari ini.

Sekian adanya.

Posted in Uncategorized | Tagged , , , , , | Tinggalkan komen

Biodata dan tarikh lahir Puteri Gunung Ledang ( kekaseh Hang Tuah )

Berikut adalah biodata dan tarikh lahir Puteri Gunung Ledang untuk tindakan tuan selanjutnya.

Nama beliau yang asal ialah Raden Puteri Mas Nyawa. Kemudian di gelar Raden Puteri Ratna Gumilah Sari atau Puteri Siti Jamilah.

Bapanya ialah Sultan Ali Akabar Al Fatahillah bin Prabu Brawijaya. Ibu beliau ialah Raden Siti Murtassimah binti Raden Rahmat / Sunan Ampel.

Puteri Gunung Ledang di lahir kan di Bintoro Demak pada tahun 1485 M. Di besarkan olih bapa nya yang pada masa itu belum menjadi Sultan Demak.Bintoro Demak pada asalnya adalah hadiah dari Bapa Raden Patah kepada Sunan Ampel untuk menubohkan Pesantren Pertama Pulau Jawa.

Pada tahun 1501 M ,Raden Puteri Jamilah di kawin kan dengan sepupunya Raden Abdul Qadir bin Raden Mohamad Yunus bin Sayyid Khalid Al Idrus. Radin Abdul Qadir adalah anak Adipati Jepara. Pada tahun 1478 M. Bintoro Demak melancar kan seranggan ke atas Majapahit dan Kerajaan HIndu ini runtoh. Maka berdirilah Bintoro Demak mengwakili Mjapahit yang akhirnya bergelar KERAJAAN ISLAM DEMAK. Sultan AlFatah sebenar nya tidak ada anak lelaki, yang ada anak lelaki ialah adek nya Raden Husin.Disebabkan Raden Husin rapat dengan Raden Fatah,anak anak lelaki Raden Husin di didik nya sebagai anak angkat.

Pada tahun 1506 M Raden Siti Jamilah datang ke Pulau Besar untuk menuntut ilmu ugama islam.Pada masa itu Syeikh Sultan Ariffin Sayyid Ismail menjadi Ketua Ulama di Pulau Besar. Maulana Ishaq dan Sayyid Thanauddin masih ada di Pulau itu.

Hasil perkhawinan dengan Raden Abdul Qader maka lahir lah Raden Abu Bakar (1502-1521 M ) dan Raden Abu Syahid (1503-1521 M).Kedua anak nya SYAHID di Pulau Besar pada tahun 1521 M.

Raden Abdul Qader menjadi Sultan Demak ke 2 pada tahun 1518 M. Dimasa ini Sultan ini telah ada 3 orang isteri iaitu

1.Raden Puteri Siti Jamilah..anaknya Raden Abu Bakar dan Raden Abu Syahid.

2.Raden Puteri Mas Ayu binti Sunan Gunong Jati…tiada anak.

3.Syarifah Siti Zubaidah binti Syeikh Sultan Ariffin Sayyid Ismail…melahirkan Raden Abdullah

Setelah Demak kalah dalam pertempuran dengan Melaka pada tahun 1521 M. Raden Puteri Jamilah menyepi ke Gunong Ledang.Beliau memang bersedeh kerana SUAMI DAN 2 ANAK TERCINTA nya SYAHID di Pulau Besar.Di samping itu PEREBUTAN TAHTA berlaku di Demak di antara Raden Tronggano dan Raden Kikin, menyebabkan Raden Kikin di bunoh !!!.Raden Yunus bin Raden Husin,adek bungsu Raden Tronggono lari ke Palembang dan menukar nama ke KIAI GEDE ING SURO.

Pada tahun 1645 M Puteri Siti Jamilah atau PUTERI GUNONG LEDANG wafat dan di semadikan di samping Makam Suami nya.

Itu lah Sejarah ringkas yang saya tuliskan dan memang ada lagi kisah suka dan duka dalam riwayat hidup beliau…Cuma saya nak beritahu SIAPAKAH PUTERI GUNONG LEDANG YANG SEBENARNYA, DAN DARIMANA ASAL NYA,SIAPA BAPA DAN SIAPA GURU NYA

Posted in Uncategorized | Tagged , , , , , | 15 Komen

Biodata dan tarikh lahir Hang Tuah menurut buku sejarah antarabangsa

Nama Sebenar Hang Tuah adalah Daeng Merupawah atau Daeng Mempawah, iaitu anak kepada Raja yang pernah memerintah Daerah Bajung (ejaan sebenarnya adalah Daerah Bajeng, Gowa, Makassar). Hikayat Sulatus Al Salitin bertulisan jawi dengan ejaan ‘Ba Alif Jim Nga’ menyebabkan sebutannya menjadi Bajung. Tidak pernah wujud Daerah Bajung di Makassar atau Gowa tetapi yang ada hanyalah Daerah Bajeng, di Gowa, Makassar.

Hang Tuah telah dilahirkan pada tahun 1388 Masehi. Ini kerana mengikut riwayat, usia Hang Tuah pada tahun 1400 Masehi adalah 12 tahun. Pada usia tersebut beliau telah berjaya membunuh 2 orang yang mengamuk di Bajeng.

Kesultanan Gowa:

1 Tumanurunga (1300 Masehi)
2 Tumassalangga Baraya
3 Puang Loe Lembang
4 Tuniatabanri
5 Karampang ri Gowa
6 Tunatangka Lopi (1400 Masehi)
7 Batara Gowa Tuminanga ri Paralakkenna
8 Pakere Tau Tunijallo ri Passukki
9 Daeng Matanre Karaeng Tumapa’risi’ Kallonna (1500 Masehi)

Seri Bija Pikrama dan Tun Sura Diraja, dari Melaka telah datang ke Makassar dan berjumpa dengan Raja Gowa (Batara Gowa Tuminanga Ri Paralakkenna). Raja Gowa menyambut baik kedatangan Seri Bija Pikrama dan ingin mengirim sesuatu kepada Sultan Mansur Syah sebagai balasan dari kunjungan tersebut. Seri Bija Pikrama menyatakan bahawa Sultan Mansur gemar mengumpul anak anak muda yang memenuhi syarat syarat tertentu untuk dijadikan pahlawan negeri Melaka. Mendengarkan hal itu, Raja Gowa telah menyuruh orangnya mencari anak muda seperti yang dikehendaki dan menepati syarat syarat yang telah ditetapkan untuk dibawa dan dijadikan pahlawan Melaka.

Sumber Rujukan:

1. Hikayat Sulatus Al –Salatin karangan Tun Muhammad atau Tun Seri Lanang pada tahun 1612 Muka surat 104. Pada masa kini terdapat beberapa versi antaranya versi Winstedt dan versi Shellabear.

2. Naskah Raffles Malay 18 masih tersimpan di Royal Asiatic Society, London atau Sulatus al-Salatin Cod. Or. 1704 yang tersimpan di Universiti Leiden, Belanda

3. Buku “Amando Cortesao – The Suma Oriental of Tome’ Pires”, Pires adalah seorang Portugis yang berada di Melaka semasa Portugal menyerang Melaka pada 1511, beliau menyatakan “Kalaulah Hang Tuah masih ada di Melaka, Portugis tidak akan berani menyerang”.

4. Buku “A. Kobata and M. Matsuda – Ryukyu relations with Korea and south sea countries” A. Kobata telah merujuk kepada kepada catatan bernama “Rekidai Hoan” yang telah ditulis dan disusun pada 1697 oleh Raja kepulauan Ryukyus yang mana didalam catatan tersebut ada menyebut mengenai keberanian Hang Tuah yang telah masuk kepelabuhan di Kemboja semasa perang saudara sedang berlangsung diketika itu untuk mengambil air minuman dengan menggunakan perahu layar kecilnya.

Posted in Uncategorized | Tagged , , , , | 6 Komen

Salasilah keturunan Hang Tuah hingga zaman Jepun

Anak dari isteri pertama Tun Sendari (Adik Tun Bija Sura @ Tok Bongkok):

1. Tun Sirah (perempuan) kahwin dengan Maulana Sayyid Fadillah Khan bin Maulana Patakan Ismail bin Maulana Sayyid Barkat Nurul Alam bin Maulana Sayyid Husin Jamadil Kubra. Nama lain nya Laksamana Temenggung Khoja Hassan atau Tubagus Pasai atau Falalten atau Raden Hidayat

Cucu dari isteri pertama
1. Tun Abdullah (Lelaki)
2. Tun Biajid (Lelaki)
3. Tun Daerah (Perempuan) – Berkahwin dengan Sultan Mahmud Syah

Cicit dari isteri pertama

1. Raja Dewi binti Sultan Mahmud Syah
2. Anak dari Isteri Kedua Tun Ratna, adik Tun Perak Dari keluarga Bendahara Paduka Raja:
3. Tun Guna (Lelaki)
4. Tun Emas Jiwa@ Tun Mas Dewi (Perempuan) – Berkahwin dengan Hang Nadim bin Hang Jebat melahir kan Tun Hamzah , beranak kan Tun Mat Ali yang bergelar Datuk Seri Bertam.

5. Tun Mat Ali Hang Nadim

Cicit dari isteri kedua

1. Tun Hamzah Tun Mat Ali

Piut dari isteri kedua
1. Tun Ali Tun Hamzah – Tun Ali bergelar Datuk Seri Bertam
2. Hang Tuah meninggal dunia setelah sekembalinya Hang Nadim dari perjalanan ke Benua Keling. Hang Tuah telah dimakamkan di Tanjung Keling, diMelaka. Pengganti jawatan Laksamana adalah menantunya sendiri, Temenggung Khoja Hassan.

Sumber Rujukan:
1. Hikayat Sulatus Al –Salatin karangan Tun Muhammad atau Tun Seri Lanang pada tahun 1612 Muka surat 104. Pada masa kini terdapat beberapa versi antaranya versi Winstedt dan versi Shellabear.

2. Naskah Raffles Malay 18 masih tersimpan di Royal Asiatic Society, London atau Sulatus al-Salatin Cod. Or. 1704 yang tersimpan di Universiti Leiden, Belanda

3. Buku “Amando Cortesao – The Suma Oriental of Tome’ Pires”, Pires adalah seorang Portugis yang berada di Melaka semasa Portugal menyerang Melaka pada 1511, beliau menyatakan “Kalaulah Hang Tuah masih ada di Melaka, Portugis tidak akan berani menyerang”.

4. Buku “A. Kobata and M. Matsuda – Ryukyu relations with Korea and south sea countries” A. Kobata telah merujuk kepada kepada catatan bernama “Rekidai Hoan” yang telah ditulis dan disusun pada 1697 oleh Raja kepulauan Ryukyus yang mana didalam catatan tersebut ada menyebut mengenai keberanian Hang Tuah yang telah masuk kepelabuhan di Kemboja semasa perang saudara sedang berlangsung diketika itu untuk mengambil air minuman dengan menggunakan perahu layar kecilnya.

Posted in Uncategorized | Tagged , , , , | 3 Komen

Kisah Dang Anum gundik raja tunangan orang

Sang Rajuna Tapa adalah seorang bendahara di pemerintahan Sultan Iskandar Shah di Singapura dulu. Kerana dengki dan iri hati dari sesetengah pihak di istana, beliau sekeluarga telah difitnahkan. Anak perempuan beliau (Dang Anom), yang dikatakan seorang yang rupawan telah diambil sultan untuk dijadikan sebagai gundik walaupun ia nya telah pun di tunangkan dengan jejaka idaman nya sendiri, seorang panglima (Panglima Malang). Kerana taat atas kehendak sultan, Sang Rajuna Tapa reda anak nya dijadikan gundik walaupun hati nya remuk mengenangkan nasib yang menimpa. Anak perempuan Sang Rajuna Tapa menjadi gundik kesayangan sultan yang membangkitkan lagi rasa ketidak-puasan hati gundik gundik yang lain dan sang permaisuri.

Untuk dipendekkan cerita, sang panglima yang masih merindui kekasihnya datang di istana secara senyap untuk berjumpa dengan nya. Saat ini lah yang ditunggu tunggu orang yang sememangnya iri-hati keatas kejayaan bendahara dan anak nya untuk memfitnah mereka berdua. Mereka ditangkap dan diheret di sekeliling kampung dan kemudian nya disula dikhayalak ramai. Sang Rajuna Tapa rebak mengenangkan nasib yang menimpa. Kerana terdesak dengan ketidak adilan sultan yang menghukum tanpa usul periksa, beliau mengutus surat ke Betara Majapahit untuk menyerang Singapura. Dan disaat getir anak nya disula, Sang Rajuna Tapa membuka pintu gerbang kota untuk memberi laluan pasukan Majapahit untuk menyerang. Habis satu kota bermandikan darah dan sultan bersama pengikut pengikutnya larikan diri ke Muar. Mengikut Sejarah Melayu, sedang Sang Rajuna Tapa dan isteri nya bersiap untuk melarikan diri, dengan kehendak Allah, mereka berdua bertukar menjadi batu.

Posted in Uncategorized | Tagged , , , , | Tinggalkan komen

Taming Sari Keris Laksamana

Taming Sari adalah nama seorang pendekar Jawa dalam kerajaan Majapahit seperti yang tersebut di dalam Hikayat Hang Tuah. Menurut hikayat ini, Taming Sari adalah seorang panglima yang paling handal di Majapahit ketika itu, dan beliau telah ditugaskan oleh Bendahara Majapahit, Patih Gajah Mada untuk membunuh Hang Tuah.

Taming Sari dikatakan seorang yang kebal tidak dapat dicederakan oleh senjata. Bagaimanapun, kekebalannya adalah terletak pada keris yang digunakannya. Hang Tuah pula pada masa itu telah berguru kepada seorang ahli pertapaan Jawa bernama Sang Adi Putera. Gurunya itu telah memberitahu akan kelemahan Taming Sari. Oleh itu, pada hari pertarungan antara kedua pendekar ini di hadapan Sultan Melaka dan Betara Majapahit, Hang Tuah telah berjaya merampas keris Taming Sari dan menggunakan keris itu utnuk menikamnya hingga mati.

Sebagai menghargai kejayaan Hang Tuah itu, Betara Majapahit telah menganugerahkan keris itu kepada Hang Tuah. Keris ini dikenali sebagai “Keris Taming Sari” dan telah dibawa pulang ke Melaka. Keris yang sama juga telah digunakan oleh Hang Jebat untuk menderhaka Sultan Melaka. Hang Jebat juga dikatakan kebal kerana memiliki keris Taming Sari. Dalam pertarungannya yang terakhir dengan Hang Tuah, keris Taming Sari telah berjaya merampas semula oleh Hang Tuah yang kemudiannya menikam mati Hang Jebat.

Keris ini adalah Keris Kerajaan bagi jawatan Laksamana Melaka, yang terakhir sekali dijawat dan dipegang oleh (Bendahara) Hang Tuah. Keseluhuran sarung keris ini diseliputi oleh dedaun emas. Keris ini dihargai sebagai berkeupayaan untuk berlegar di udara ke mana2 haluan dalam mengejar musuh.

Adalah dikatakan bahawa Hang Tuah memberi keris ini kepada Tun Mamat untuk dibawa balik menghadap Sultan pada masa itu kerana beliau terlalu malu untuk menghadap sendiri Kebawah Duli Sultan kerana gagal mendapat Puteri Gunung Ledang untuk mengahwini baginda.

Tatkala Sultan Mahmud Shah meninggalkan Melaka, baginda membawa keris ini bersama2 baginda ke Kampar, Sumatera. Kemudian baginda mengurniakan keris ini kepada anakanda baginda Raja Mudzafar Shah yang kemudiannya berangkat ke Perak Darul Ridzuan dan ditabalkan sebagai Sultan Perak yang pertama.

Posted in Uncategorized | Tagged , , , , , | 4 Komen

Rahsia Hang Tuah dengan Keris Taming Sari

Sumber dari komentar
badrul sysham bin johar says:
31 Julai 2012 at 2:53p

Misteri Keris Taming Sari

SALAM..aku ingat memperjelaskan tentang asalnya keris ini ditanah jawa..sebelum tu aku tak tahu siapa yang memilikinya..sebelum hang tuah memiliki keris tu..ia adalah kepunyaan panglima mangku bumi..iaitu panglima maharaja pahit ..ingatkah kalian didalam filem pramlee ..semasa 5 bersaudara hadir di jajahan maharajapahit 5 bersaudara dicabar oleh pemerintah untuk beradu tenaga. hang tuah memilih untuk beradu cabar digelanggang persilatan..semasa itu panglima mangkubumi sedang bertapa didalam tanah.untuk mendapatkan kekebalan ia perlu bertapa selama 40 hari.akhirnya panglima mangkubumi terpaksa keluar dari tempat pertapaan nya yang baru berusia 39 hari.Tidak lengkaplah ilmu kekebalan tersebut.

Semasa pertempuran beliau dengan hang tuah..akhirnya ia terbunuh..Taming sari jatuh ketangan hang tuah.Setelah lama memiliki dan sejarah banyak berlaku.Hang Tuah dan Hang Jebat akhirnya bertemu untuk menyelesaikan maslah yg timbul.Hang Tuah dibekalkan keris yang lebih kurang hebatnya jugak dari kesultanan Melayu Melaka IAITU KERIS PAMONG SARI IA JUGA KERIS YANG BERDAULAT.Semasa pertarungan akhirnya keris itu bertukar tangan..hang tuah memiliki semula taming sari..hang jebat memiliki pamong sari.Akhirnya Jebat redah kebumi ditikam dengan Taming Sari.

Setelah itu keris itu sebenarnya di ambil semula oleh Hang Tuah selepas Hang Tuah dikebumikan disatu tempat rahsia tanpa diketahui umum.Hang Jebat tidak mengamuk pun setelah ditikam oleh Hang tuah seperti mana diceritakan..Ia sekadar memburukan Hang Jebat.Hang Jebat tidak melakukan zina.Dia berkahwin dengan Dang Anum yang disaksikan oleh Dato Bendahara.

Untuk pengetahuan anda semua 5 bersaudara ini bukanlah calang manusia.mereka dibekalkan oleh guru2nya ilmu agama yang cukup tinggi serta ilmu persilatan..Janganlah memburukan Hang Jebat..Ia satu sejarah dimana kesannya kini telah pun terbukti kepada pemimpin kita sendiri yang ada sekarang.Ia kemana pegi keris tersebut…

KERIS yang berada ditangan Sultan Perak pada hari ini adalah KERIS PAMONG SARI yang telah diserahlkan kepada kerajaan perak selepas itu.

KERIS Taming Sari ia masih terpacak dicelah batu diantara 3 buah negeri iaitu Pahang,Negeri Sembilan dan Melaka iaitu disempadanan yang tidak diketahui oleh kita.Keris itu akan tercabut dari celah batu sampai waktunya oleh seorang budak yang berlidah hitam berumur diantara 3 – 5 tahun..Mungkin ia salah satu keturanan Panglima Hitam yang kita tidak tahu..kita bersabar..kita tunggu..bilakah akan berlaku..

Posted in Uncategorized | 7 Komen